Zaiton Sameon merupakan seorang penyanyi yang berada di tangga teratas sewaktu di puncak popularitinya dan menjadi sanjungan peminat tetapi kehilangan segala-galanya selepas terbabit dengan satu kemalangan ngeri pada tahun 1990. Filem Zaiton Ceritaku yang dikeluarkan syarikat produksi Bruang Filem Sdn. Bhd. ini bertujuan menceritakan perjalanan dan liku-liku hidup yang terpaksa diharungi penyanyi Zaiton Sameon selepas kemalangan tersebut. Filem berbentuk autobiografi ini juga mempertaruhkan pelakon dan penyanyi, Nadia Aqilah Bajuri yang memegang watak sebagai Zaiton dalam filem pertama lakonannya.
Gadis berusia 26 tahun ini mengakui bahawa dia dapat merasa emosi dan kesedihan yang dialami oleh Zaiton sendiri sewaktu melakonkan watak penyanyi itu. "Saya memang suka hidup dalam watak yang diberi, jadi apabila memainkan watak ini, saya dapat merasakan kesedihan yang ditanggung penyanyi itu. "Apabila dia kehilangan segalanya akibat kemalangan termasuk karier seni malah anak kesayangannya, kadangkala saya tidak dapat menahan daripada turut bersimpati kepadanya," katanya yang ditemui selepas majlis pra-tonton filem itu baru-baru ini.
Nadia yang turut menyanyikan lagu Menaruh Harapan dalam filem itu menambah, dia berharap filem itu dapat mengubah persepsi negatif masyarakat terhadap penyanyi itu yang telah banyak berjasa dalam industri seni tanah air. "Filem ini menunjukkan cabaran demi cabaran yang terpaksa dilalui oleh Zaiton selepas kehilangan insan-insan yang tersayang dalam hidupnya. "Saya juga berharap masyarakat dapat memberikan penghormatan yang sewajarnya diterima oleh Zaiton kerana dia merupakan seorang wanita yang cekal dan tabah," katanya.