-
Tegar. - FOTO :
SEBELUM ini, dia tidak pernah merasa sambutan ulang tahun, apatah lagi diberi pelbagai bentuk hadiah yang mewah.
Duit yang diperoleh daripada hasil titik peluh sebagai pengamen
(penyanyi jalanan) di Kota Subang, Indonesia hanya cukup-cukup untuk
menampung perbelanjaan seharian keluarganya.
Apatah lagi, sepanjang tempoh 16 jam sehari, dari jam 4 pagi hingga 7
malam, pengemis cilik ini hanya memperoleh RM30 hingga RM40 sahaja.
Namun, pada ulang tahun kelahirannya yang ke 12, pada Rabu lalu,
penyanyi cilik, Tegar Septian, menerima hadiah di luar jangkaannya.
Ketika menjalani sesi fotografi Isnin lalu, Tegar yang popular dengan
lagu, Aku Yang Dulu Bukanlah Yang Sekarang, memberitahu, dia turut
menghadiahi ibu bapanya sebagai tanda penghargaan.
"Saya ada terima beberapa bentuk hadiah termasuk I Pad, alat muzik seperti piano, ukulele, keyboard, dan organ.
"Selain itu, saya turut membeli rumah untuk keluarga saya sebagai
hadiah. Sebelum ini, memang hasrat saya untuk membeli rumah kepada
mereka agar lebih selesa.
"Saya juga turut membeli sebuah motosikal berkuasa tinggi (motorbike),
untuk diri sendiri kerana sudah lama saya teringin untuk memilikinya,"
katanya yang kini telah mengadakan lebih daripada 10 konsert di
Indonesia.
Popular sekelip mata
Bukan sahaja di Indonesia, nama Tegar kini mula meniti di bibir peminat
Malaysia. Malah, rata-rata mengagumi bakat dan ketabahannya dalam
menjalani kehidupan sebagai pengemis jalanan.
Berjaya berkongsi pentas bersama penyanyi terkenal Indonesia seperti
Noah dan Wali Band, jauh di sudut hati Tegar untuk berkolaborasi bersama
kumpulan terkenal Malaysia, Slam.
Menurutnya, hampir kesemua lagu-lagu Slam berjaya dihafal dan sering dinyanyikan ketika mengemis dahulu.
"Saya memang minat Slam dan kumpulan itu amat terkenal di Indonesia.
Lagunya juga bagus-bagus. Saya teringin nak berduet dengan kumpulan itu
jika diberi peluang.
"Selain itu, saya juga mahu berduet dengan penyanyi nombor satu
Malaysia, Datuk Siti Nurhaliza. Bagi bintang antarabangsa pula, saya
meminati, Justin Bieber.
"Kalau berpeluang, saya mahu berkongsi pentas dengannya yang merupakan
idola saya. Saya mahu berjaya sepertinya," kata Tegar yang tidak
putus-putus menunjukkan kebolehannya bermain magik daun terup.
Walaupun hanya berpeluang bersekolah sehingga Darjah 2 sahaja, Tegar
kini berusaha 'mengejar' semula pembelajaran yang ditinggalnya hampir
lima tahun itu.
"Saya menggunakan kaedah pembelajaran di rumah (homeschooling), kerana
saya terikat dengan jadual persembahan. Jadi, kaedah ini lebih
menyenangkan.
"Alhamdulillah, setakat ini, saya boleh mengikuti pembelajaran ini
dengan mudah. Malah, saya turut diajar untuk mendalami Bahasa Inggeris,"
katanya yang bakal mengadakan konsert pertama di Malaysia pada bulan
November nanti.
Selain itu, Tegar juga kini memiliki album pertamanya, Tegar &
Sahabat, yang memuatkan lima lagu termasuk lagu hitnya dan Rindu Ibu.
Merokok, hidu gam
Walaupun kehidupannya kini jauh berubah, namun akui Tegar, jiwa dan pendiriannya masih seperti dahulu.
"Hanya kehidupan sahaja yang berubah. Namun, tegar masih lagi Tegar yang dahulu. Tak akan meninggi diri dan mendabik dada.
"Kehidupan saya di jalanan memberi banyak pengajaran kepada saya dalam
menempuh hari-hari mendatang. Walaupun saya mempunyai duit dan
segalanya, namun saya tidak dimanjakan.
"Pengurus saya, Alfas Hermansyah, juga bertindak menguruskan kewangan
dan membawa saya di tahap ini," katanya yang dijumpai Alfas di Kota
Subang, Julai lalu.
Kemerduan suara dan ketabahan Tegar yang mencari nafkah demi
keluarganya dengan gesekan ukulele membuatkan Alfas tergerak hati untuk
membawa Tegar ke pertandingan pencarian bakat, Telco.
Bercerita mengenai pengalaman lalu, Alfas mengakui Tegar turut terlibat dalam masalah sosial seperti merokok dan menghidu gam.
"Masalah ini adalah gejala biasa di kalangan pengamen cilik. Semasa
menemui Tegar, saya meminta kebenaran keluarganya untuk membawa Tegar
tinggal bersama.
"Ketika itu, dia juga tidak mengetahui sebarang perkara mengenai Islam. Saya bertanggungjawab untuk mengajarnya.
"Selama tiga bulan, saya berjaya membuang ketagihan Tegar dan kini dia
sudah berubah dan berjaya menjalani kehidupan seperti kanak-kanak biasa.
Tiada lagi rokok dan gam.
"Saya kagum dengan Tegar kerana walaupun dia pernah ketinggalan dalam
pelajaran, dia cepat belajar. Malah, dia juga mampu menghafal lirik
dalam masa yang singkat," katanya
Sumber sinar harian.