Sayang Sakinah (Bahagian 1)
Betul kata orang, dunia ini ibarat sebuah pentas lakonan. Umpama
sebuah panggung teater. Di mana ditempatkan oleh-Nya ribuan juta
pelakon. Pelakon plastik tidak terhitung ramainya. Bumi fana ini
meletakkan variasi jenis pelakon. Beraneka ragamnya. Memunculkan
kepelbagaian watak.
Jelas sekali, berbeza perwatakannya. Menghadirkan bermacam-macam
persembahan hidup. Menayangkan ketidaksamaan sikap, berlainan
pemikirannya. Daripada protagonis kepada yang antagonis. Daripada
perihal lawa kepada perihal hodoh. Daripada si dungu kepada si
bijaksana. Ah, memang betullah ada pantun yang mengatakan - lain padang
lain belalang, lain orang lain ragam.Aku setuju seandainya orang mengatakan dunia kini dikelilingi
himpunan teknologi canggih. Aku akui seantero global ini disaluti
bilangan kelompok manusia yang modenisasi. Aku tak nafikan itu!
Tapi
sayangnya, ke mana menghilang belia Sakinah? Ke mana lenyapnya sikap
perikemanusiaan manusia abad ini? Ke mana melayang kesantunan masyarakat
era ini? Ke mana perginya sifat-sifat positif segelintir anak watan di
usia ini? Memanglah rambut sama hitam, tapi hati yang berlainan.
Semuanya perlu difikirkan.
Sejujurnya, aku menyayangi rakan sealiranku. Aku bangga dengan
paras rupa mereka. Si Sakinah lawa, cantik, menawan hati. Yang lelaki
pula tampan. Hidung mancung bak seludang. Kulit putih gebu bak kapas.
Segala apa yang ada pada mereka memang menarik. Begitu indah ciptaan
Yang Maha Kuasa. Semuanya sempurna.
Kadang-kadang cemburu pula aku terhadap kesempurnaan yang mereka
miliki. Sayangnya, sikap yang mereka tonjolkan begitu mengguris hati.
Tak semua, segelintir saja. Tak sesuai dek wajah. Pudar sudah perasaan
bertimbang rasa. Luntur sudah warna simpati. Kian layu perasaan malu
sesama sendiri. Selamatkanlah dunia kami Ya Tuhan!
Akhbar Harian
Metro yang aku raih sebentar tadi dari 7 Eleven, masih ku tatap.
Pengetahuan semasa ingin aku tambah. Biasalah pemegang gelaran mahasiswi
katakan. Kandungannya aku teliti. Hati tertarik halaman hadapannya.
Umpan
Badan - tajuk besarnya. Aku seret lagi penglihatan ke arah ayat
seterusnya. Isteri jual gambar bogel untuk hidup mewah - ayat berikutnya
yang aku hadam. Baris demi baris aku baca ayatnya. Kepala aku
tergeleng-geleng. Tunjukkanlah nur kepada mereka, Ya Allah. Selamatkan
mereka dari hutan kegelapan. Hatiku bermunajat pada-Nya.
Rasa
kesal menyelinap ke seluruh belantara hatiku. Apa kejadahnya manusia
hari ini? Perlukah menonjolkan sifat sebegitu hanya kerana ingin hidup
mewah? Kenapa tak berusaha cara halal? Aku terus menyoal diri sendiri.
Perlakuan manusia kini aku kira kian melampau. Melangkahi sempadan
agama. Nilai-nilai moral kian terhakis. Aku kira inilah akibat proses
modenisasi. Perasaan tamak haloba turut menguasai diri. Dunia kini
menjadi terbalik. Bukan menuju ke hadapan, tapi berbalik semula kepada
nostalgia lama. Dunia jahiliah, dunia tidak bertamadun.
Aku cuba
mengawal perasaan marah yang membuak-buak. Terasa malu aku dengan kaum
Hawa kini. Apa kata pelancong luar yang datang ke Malaysia? Apa fikiran
orang asing yang meluangkan masa datang menjenguk? Betulkah Malaysia
indah?
Tak! Aku kira tidak sama sekali. Meskipun indah, itu
luaran. Meskipun menarik tapi hanya kerana bangunan pencakar langit,
berdiri megah. Yang tersergam indah mewarnai bumi gemilang ini. Walau
menawan kalbu, tapi hanya dengan alam semula jadinya. Rakyatnya
berbilang kaum. Memiliki adat, tradisi serta budaya warna-warni. Itu tak
dapat dinafikan. Bagaimana pula tahap moral penduduknya?
“Langsung tak malu ke buat benda terkutuk macam tu?” soal aku pada Jilah, rakan karibku.
“Entahlah...” selamba Jilah. Kemungkinan dia tak miliki idea, kiraku masa aku aju soalan.
Bukan hubungan songsang
Kami
memang kerap meluangkan masa bersama lebih-lebih lagi bila ‘window
shopping’. Ke mana saja kami melangkah, memang acap kali kami
berdua-duaan. Ramai rakanku yang lain menyangka kami sedang menjalin
hubungan. Hubungan songsang. Sangkaan mereka sama sekali salah. Hanya
kami saja yang tahu betapa kami adalah rakan seperjuangan dalam menimba
ilmu. Sudah lama kami memeterai sebuah ikatan kasih yang bernama
persahabatan.
Bagiku, tak ada istilah bercinta. Apatah lagi
dengan Jilah, haram di mata Sang Pencipta. Yang ada cuma teman tapi
mesra. Yang wujud hanyalah istilah bercinta dengan Yang Maha Esa.
Begitulah apa yang tersemat di lubuk hatiku. Dari momen aku mula
mengenali kehadiran Jilah. Hingga kini, anggapan aku terhadapnya masih
serupa. Tiada transformasi negatif yang berlaku.
“Ha’ah kan?
Kenapa dorang tergamak buat macam tu? Kalau aku, memang aku malu tau.
Dorang macam tak kisah langsung pun dengan tohmahan masyarakat. Tak
peduli dengan hinaan yang bakal keluar daripada mulut orang lain.
Biasalah manusia kan berbeza,” kini Jilah memberiku respon. Cara maklum
balasnya seperti ada simptom-simptom, menandakan dia geram.
Aku
juga dapat mengesan kiranya bahang kemarahannya. Mungkin Jilah juga
turut merasa kurang selesa dengan panorama yang menakluki hati insan
muda kini. Hati mereka dipenuhi najis dosa. Naluri anak muda kian
dinodai belenggu nafsu. Bukan semua, sebahagian.
Aku pula
tersenyum sambil fikiranku memikirkan sesuatu. Mindaku tercari-cari
perkara yang aku biasa lakukan. Tak lengkap rasanya kalau sehari aku
tidak melafazkannya. Pantun! Aku memang minat pantun Melayu meskipun aku
bukan Melayu. Aku kira itu juga tradisi yang harus dijaga daripada
dikunyah waktu. Warisan zaman-berzaman itu harus aku pelihara. Nilainya
tak terungkap.
Dulu aku aktif dalam kelab pantun ketika masih
menyarung pakaian seragam. Itulah momen bergelar pelajar belasan tahun
di bangku sekolah menengah. Akulah bekas wira pemantun di sekolah.
Bertahun-tahun ilmu dalam bidang itu kucuba kumpulkan dan aku simpan
dalam kotak ingatan. Kini minatku masih ke situ.
Aku lafaz pada Jilah. Aku tutur padanya sebaik saja pantun itu selesai diproses dalam kilang mindaku. Dengan jedanya sekali.
Bunga kekwa bunga cendana,
Warnanya lesu serinya mati;
Rupa lawa tiadalah makna,
Andainya nafsu beraja di hati.
Jilah
tersenyum mendengar aku berpantun. Dia memang selalu menjadi mangsa,
tempat aku meluah perasaan. Bila tidak puas hati, pantun terus aku
lafaz.
“Nina, kau ni kan, tak habis-habis dengan pantun kau tu!
Ada pendekatan lain tak untuk menyindir orang?” Jilah mengomel manja.
Kemudian, dia ketawa kecil. Aku hanya tersenyum menatap gelagatnya itu.
Aku ketawa mendengar luahan hati Jilah. Ku sambung lagi;
Cantik mempelai hatinya hiba,
Kekasih tiada luka melarat;
Maruah digadai dikuasai haloba,
Inilah petanda dunia akhirat.
Kucar-kacir dilanggar
Ketibaan
monorel ke KL Sentral mengejutkan aku dan Jilah. Niatku untuk meluahkan
satu lagi rangkap pantun terus mati serta merta. Terus aku atur
langkah, bersedia untuk memasuki perut raksasa itu. Takut terlambat
sampai di kolej kediaman. Akhbar yang aku baca tadi, sudah ditutup
helaiannya. Segera aku simpan ke dalam beg. Di saat aku ingin
meneroboskan diri ke dalam monorel, terasa badanku seperti ditolak oleh
seseorang.
Langkahku menjadi kucar-kacir. Aku hampir-hampir
tersungkur. Aku toleh semula ke belakang. Kelihatan seorang perempuan
yang tak aku kenali berada di belakang. Hatiku mensyaki dialah orangnya.
Tapi ku diamkan diri. Ku pendam perlakuannya.
Kebetulan ada tempat duduk masih kekosongan. Muat-muat untuk aku dan Jilah. Punggung terus aku labuhkan. Selesa rasanya.
“Tadi Jilah ada nampak tak orang yang tolak Nina?” soalku. Serasa geram bercampur-baur di kelopak hatiku.
Jilah
mengerutkan dahinya. Perasan aku, kalau Jilah masuk dulu sebelum aku.
Cuma ingin bertanya untuk memastikan kejadian itu. Benaknya dapat aku
kenali, ada tanya-tanya di dalamnya.
“Hmm... Nina tadi kena tolak ke? Jilah tak perasan la.”
“Nina
memang kena tolak tadi. Nasib baik tak tersungkur. Kalau jatuh kena
langgar monorel tu macam mana? Mampu dia ganti balik nyawa Nina? Emm..
Entahlah siapa agaknya orang yang berani menolak Nina tu,” kepala ku
geleng.
Aku meluahkan rasa kesalku pada Jilah. Perangai yang ada
pada sebahagian rakyat Malaysia kini serba sedikit meranumkan buah
kekecewaan dalam dusun hatiku. Ke mana menghilangnya nilai toleransi? Ke
mana hanyutnya ladang rasa hormat-menghormati? Perlukah mereka sampai
tolak-menolak? Haruskah mereka berebut gara-gara ingin masuk monorel?
Aku menembak diri sendiri dengan pelbagai persoalan yang tak terjawab
olehku sendiri.
Sekali lagi mindaku terfikir sesuatu. Sudah pasti
pantun lagi. Fikiranku sedang menggali ayat dan rima yang sesuai untuk
membina serangkap pantun. Aku kira Jilah mungkin dapat menghidu tingkah
lakuku. Masak dia dengan ulahku. Sedikit aku merasa tak berpuas hati,
memang aku akan meluahkannya dengan hanya berpantun. Tak kira di mana
aku berada. Tak peduli masa apa pun. Niat hanya ingin menyalurkan mesej
kepada orang lain.
Namun pantun kali ini aku cuma bicarakan dalam hatiku. Tak diluah pada Jilah.
Megah berkibar bendera Malaysia,
Berwarna cerah menawan hati;
Perlunya bersabar rakan belia,
Tidaklah usah pentingkan diri.
Penyeluk saku
“Jilah
nampak tak apa yang Nina nampak?” Aku cuba memulakan perbualan. Terus
Jilah mengalihkan pandangan ke mukaku. Apa dia nampak sesuatu yang
mencurigakan sama seperti aku?
“Apa?” jawabnya ringkas.
“Nantilah Nina cerita pada Jilah. Lepas sampai kolej nanti. Tak ‘alert-lah’ Jilah ni!”
Setelah
lama aku dan Jilah membisu, aku cuba bersuara semula. Cuba aku tutur
sesuatu. Bola mataku mengenal pasti satu lagi perlakuan anak muda. Rakan
sebayaku, kukira.
Waktu di dalam monorel, aku lihat seorang
gadis cuba menyeluk saku seorang perempuan yang aku anggarkan dia sudah
boleh digelar seorang ibu. Boleh jadi usianya di pertengahan 30-an. Ya,
ku rasa sebegitu! Gadis tadi amatlah sempurna di mataku. Paras rupanya
menawan. Putih melepak kulitnya. Tinggi, berhidung panjang dan mancung.
Stailnya berpakaian menampakkan dia seperti model. Tapi sayangnya, dia
penyeluk saku. Dasar gadis penyeluk saku, kutuk hatiku!
Huh, tak
habis-habis rakanku menonjolkan perangai yang aku kira tak patut mereka
tonjolkan! Wahai rakan tersayang, kembalilah ke jalan-Nya! Sedarlah.
Bukalah matamu - aku berpuisi indah. Puisi pendek itu aku ucap di dalam
hati.
Nasiblah seorang pak cik dengan cepat-cepat menghidu
tingkah laku busuknya. Syukurlah. Patut dia dilaporkan kepada pak polisi
yang ada di sekitar stesen yang bakal raksasa itu singgah sebentar
lagi. Memang harus. Tidak adil bagi orang lain kalau perangainya itu
diteruskan. Malas berdikarilah tu! Dasar kau pemalas - hina dalaman
hati!
Tak henti-henti aku merasa kecewa. Perasaan itu lahir
dengan sendirinya bila saja ku lihat kelakuan rakan-rakan seperjuanganku
jauh terpesong. Kebanyakan lari daripada landasan agama. Sedih di dalam
hati, tak terkata. Nak tegur, serasa malu. Kenapa mereka tidak
memikirkan untuk hidup sesuai dengan kehendak-Nya? Apa mereka tahu yang
bila-bila saja Yang Maha Esa boleh mengambil nyawa kita semua? Semua itu
perlu difikirkan.
Sumber.Harian Metro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan