Khamis, 18 Oktober 2012

Rentetan Kehidupan Zaiton Sameon

Perjalanan hidup setiap individu itu memang dipenuhi dengan pelbagai liku dan ranjau yang berwarna warni dan tidak dinafikan, segala pengalaman itulah yang membuatkan seseorang itu matang dalam menghargai kehidupan yang mereka miliki. Kehidupan seorang anak seni juga tidak kurang menariknya apabila pelbagai pengalaman yang ditempuh sepanjang karier dan kehidupan menjadi tatapan umum semua pihak sama ada peminat mahupun sebaliknya. Apatah lagi jika pengalaman itu melibatkan kejadian-kejadian tragis seperti terbabit dalam sebuah kemalangan yang meragut nyawa individu tersayang sewaktu berada di puncak kegemilangan karier seninya. Itulah antara sedikit daripada coretan kisah hidup seorang penyanyi yang dahulunya terkenal di seluruh pelosok negara melalui lagu-lagu seperti Menadah Impian, Kabut Serangkai Mawar dan Menaruh Harapan.

Zaiton Sameon merupakan seorang penyanyi yang berada di tangga teratas sewaktu di puncak popularitinya dan menjadi sanjungan peminat tetapi kehilangan segala-galanya selepas terbabit dengan satu kemalangan ngeri pada tahun 1990. Filem Zaiton Ceritaku yang dikeluarkan syarikat produksi Bruang Filem Sdn. Bhd. ini bertujuan menceritakan perjalanan dan liku-liku hidup yang terpaksa diharungi penyanyi Zaiton Sameon selepas kemalangan tersebut. Filem berbentuk autobiografi ini juga mempertaruhkan pelakon dan penyanyi, Nadia Aqilah Bajuri yang memegang watak sebagai Zaiton dalam filem pertama lakonannya.

Gadis berusia 26 tahun ini mengakui bahawa dia dapat merasa emosi dan kesedihan yang dialami oleh Zaiton sendiri sewaktu melakonkan watak penyanyi itu. "Saya memang suka hidup dalam watak yang diberi, jadi apabila memainkan watak ini, saya dapat merasakan kesedihan yang ditanggung penyanyi itu. "Apabila dia kehilangan segalanya akibat kemalangan termasuk karier seni malah anak kesayangannya, kadangkala saya tidak dapat menahan daripada turut bersimpati kepadanya," katanya yang ditemui selepas majlis pra-tonton filem itu baru-baru ini.

Nadia yang turut menyanyikan lagu Menaruh Harapan dalam filem itu menambah, dia berharap filem itu dapat mengubah persepsi negatif masyarakat terhadap penyanyi itu yang telah banyak berjasa dalam industri seni tanah air. "Filem ini menunjukkan cabaran demi cabaran yang terpaksa dilalui oleh Zaiton selepas kehilangan insan-insan yang tersayang dalam hidupnya. "Saya juga berharap masyarakat dapat memberikan penghormatan yang sewajarnya diterima oleh Zaiton kerana dia merupakan seorang wanita yang cekal dan tabah," katanya.

Wanita ini juga berharap peminat dapat mendalami penderitaan dan cabaran yang terpaksa dilalui seorang penyanyi yang telah menghiburkan jutaan peminatnya suatu masa dahulu.