Isnin, 29 September 2014

Bila Mendongak ke Langgit Tinggi Jangan Lupa Rumput di Bumi


Selembar kisah kehidupan ingin saya kongsikan kepada pembaca untuk kita jadikan sebagai renungan dan  iktibar agar jangan kita terus hanyut dibawa arus bila berada dipuncak kejayaan.  Langit tidak sentiasa cerah, ada kalanya mendung, hujan, ribut dan sebaliknya.

Saya berkongsi kisah ini bukan bertujuan membuka aib keluarga sendiri hanya mengingatkan agar kita sentiasa muhasabah diri bila kita mendapat apa juga bentuk kejayaan, kadang-kadang ada insan terlupa diri setelah berjaya mencapai apa yang di impikan. Kisah yang ingin saya kongsikan ini berkaitan dengan salah seorang saudara kandung saya suatu ketika dulu pernah bergelar seorang jutawan yang berjaya hasil dari jerih payahnya mengubah nasib kehidupannya dari susah menjadi senang. Dia menceburi pelbagai bidang perniagaan jatuh bangun telah dilaluinya tanpa menoleh kebelakang, berkat sabarnya akhirnya impiannya bergelar orang kaya menjadi kenyataan.

Kehidupannya 100% berubah, rezkinya pula tidak putus-putus mencurah-curah, kehidupan mewahnya dilihat melalui keretanya, rumahnya, siap dengan pemandu, pembantu rumah sampai beberapa orang. saudara saya ini sikapnya agak ego, isterinya pula seorang yang baik dan sederhana. walaupun sudah bergelar orang kaya dia tetap seperti dulu. Kekayaan saudara saya ini menjadi bualan masyarakat setempat dan menjadi contoh usahawan paling berjaya. Kami sekeluarga tumpang gembira walaupun kami tidak sedikit pun mendapat apa-apa daripada kekayaannya tumpang gembira sudah cukup memadai bagi kami.

Masa terus berlalu sepanjang saudara saya ini bergelar orang kaya perubahan sikapnya dilihat sangat berubah..antaranya  berkahwin lagi satu walau pun tidak mendapat restu dari isteri pertamanya namun dia bijak memujuk alasannya dia cukup mampu untuk membayai segala keperluan keluarganya. Akhirnya isterinya mengalah dan bersetuju. Tanggungjawabnya sebagai suami tidak pernah sekali-kali dia abaikan namun biasalah kalau suami telah ada yang baru, yang baru itulah perhatian utamanya. Kakak ipar pula makan hati namun apa yang mampu di lakukan hanya bersabar.

Ayah kami selalu mengingatkan saudara kami ini agar jangan sampai lupa pada Tuhan kerana menurut isterinya suaminya itu tidak pernah lagi mengerjakan solat jauh sekali dari mengerjakan puasa, Ayah kami juga sering meyarankan agar dia mengerjakan ibadat haji selagi masih ada kesempatan dan ada kemampuan. Nasihat ayah padanya langsung tak dipedulikan, dia masih muda itulah alasannya dan belum sampai waktunya.

Sumbangannya kepada perkara yang tidak mendatangkan pahala sampai mencecah ratusan ribu ringgit  tetapi sumbangan kepada hal-hal agama langsung tiada. dia semakin lalai dengan urusan duniawinya.
Namun perkara yang buat saya hormat padanya dia sangat prihatin terhadap  kebajikan kedua orang tua kami, apa-apa masalah berkaitan dengan kesihatan orang tua kami dia sentiasa membantu. dialah yang membiayai segala kos perubatan mereka.

Masa terus berlalu suatu ketika dia telah mendapat satu projek yang cukup besar jumlahnya berbanding sebelumnya, segala-galanya telah diurus, telah pun dilancarkan dan diresmikan oleh orang kenamaan, dalam news pun telah dihebahkan, jutaan ringgit telah dihabiskan selama menguruskan projek tersebut. menurutnya untuk melaksanakan projek ini perlu menggunakan kewangan sendiri terlebih dahulu, saudara saya ini telah melaksanakan seperti yang diminta oleh pihak bank kerana itu adalah antara syarat bila membuat loan.

Dalam perniagaan perkara jatuh-menjatuh, dengki, khianat adalah asam garamnya, satu hari tiba-tiba saudara saya mendapat tahu projeknya itu telah dibantah oleh pihak tertentu menyebabkan pihak bank membatalkan pinjamannya sedangkan projek itu telah mula dilaksanakan, jutaan ringgit telah dibelanjakan..perkara ini menyebabkan saudara saya ini diserang sakit  mujurlah sempat diselamatkan Alhamdulillah dia sembuh.

Saudara saya ini terus berusaha mencari punca kenapa projeknya telah di batalkan, akhirnya dia mendapat tahu rupanya orang kenamaan turut campurtangan dalam pembatalan projek tersebut, pelbagai alasan diberikan. Saudara saya tidak berpuas hati lalu menyaman sampai ke mahkamah tinggi. Namun dia tidak berjaya retusan ribu telah dibelanjakan bagi pembayaran guaman. Hanya sia-sia semuanya berakhir dengan kehampaan.

Sungguhpun kegagalan projek itu telah berlaku usahanya mendapatkan projek-projek lain tetap berjalan lancar, rezkinya tetap ada, namun ekoran kegawatan ekonomi melanda tahun,,, menyebabkan syarikatnya dilanda masalah bermula dari situlah banyak projeknya tergendala, kewangan pula semakin susut. Perkara ini menyebabkan dia sering diserang sakit.. kerana tertekan dengan banyak masalah yang bertimpa-timpa. Segala hartanya satu demi satu habis digadai, kesihatannya pula semakin tidak mengizinkan dia bergerak cergas kerana sakit-sakit sehingga ke hari ini, tiada apa yang tinggal, kehidupannya kembali seperti dulu. Simpati kami melihat keadaannya  namun apakan daya masa emas telah berlalu dan tak mungkin dapat kembali.

Mungkin banyak sesalannya ketika dia dalam keadaan kaya dahulu kerana banyak perkara yang tidak dilakukannya terutama melaksanakan rukun ke lima. Mujurlah beberapa orang anaknya telah bekerja dan anak-anak saja yang membela kehidupan mereka kini. Apa yang berlaku semuanya ada hikmah selepas apa yang berlaku telah kembali merubah kehidupannya, mujurlah Tuhan masih memberinya peluang dan keadaan fizikalnya masih normal mujurlah tidak berlaku kecacatan sebagaimana sesetengah orang yang sehinggah fizikal tidak berfungsi, sepanjang keadaannya yang tidak secergas dulu, kini dia menghabiskan sisa-sisa hayatnya dengan mendekatkan diri pada Tuhan Alhamdulillah.