Rabu, 9 April 2014

Selawat Menyelamatkan Aku Dengan Izin ALLAH


Setelah selesai menguruskan segala urusan di bandar raya lewat tengahari kelmarin, terasa pula perut lapar kerana sejak pagi belum menjamah sebarang makanan hanya sempat meneguk segelas air bening sebelum keluar rumah.

Aku mengajak anakku singgah di sebuah restoran milik sahabatku, restoran ini antara yang terlaris di bandar raya ini, aku sering  berkunjung ke sini bila ada kesempat kerana terdapat menu ikan keli kegemaranku. Selesai meletakkan kereta ditempat parking kami terus masuk ke restoran tersebut, suasana masih lengang pelanggan tidak begitu ramai.

Tanpa membuang masa aku dan anakku terus saja menggambil nasi sambil meninjau-ninjau lauk-pauk yang terletak diatas meja, banyak pilihan..aku mencari-cari ikan keli yang sejak tadi telah tersemat dihati hendak makan, tinjau punya tinjau,  namun ikan keli tidak ku temui, lalu aku bertanya kepada pelayan restoran, katanya hari ini tiada ikan keli, dengan rasa hampa akhirnya aku menggambil ikan merah asam pedas sebagai pengganti walau pun hati tidak begitu berkenan.

Selesai memilih apa yang disukai,  kami duduk sambil memesan minuman. Tanpa membuang masa aku terus makan dengan penuh selera yang menggebu-gebu, ulam mangga campur sotong huuuhh paling mantap.membuka selera bercampur . Ikan merah asam pedas. Saat aku menelan makanan yang tidak berapa terkunya, aku terasa tekakku sakit..huhhh aku ketulangan, tulang ikan merah itu menyangkut di tekakku, aku minum seteguk air bagi menghilangkannya namun tulang itu tidak melucur ke bawah,...aku cuba lagi dengan menelan nasi  namun masih tidak berubah, terasa semakin sakit menyucuk tekak..

Aku berdehem berulang-kali namun tidak juga mengubah apa-apa ..aku mula rasa cemas kerana tekakku semakin sakit. aku berhenti sebentar dari terus berdehem, makan dan minum, aku tenangkan  keadaanku yang semakin risau, aku baca SELAWATdengan niat.sambil menyuap nasi ke mulut...Alhamdulillah dengan izin Allah tiba-tiba tulang itu sudah tidakku rasai,. tenteram jiwaku aku meneruskan makan sehingga selesai.

 MasyahAllah gelojoh punya pasal agaknya..

Jumaat, 4 April 2014

Keputusan Mengundang Sesal

Kerana terlalu mengejar jawatan tetap akhirnya " Yang di kejar tak dapat, yang di kendong berciciran " sudah selesa dengan jawatan yang disandang, gaji lumayan, sahabat ini masih mencari peluang untuk jawatan tetap yang akhirnya memakan diri sendiri.

Tidak salah,  namun keputusan yang telah dibuat itu tidak mendatangkan untung, bukan saja terlepas jawatan yang sedia ada malah jawatan yang disangka tetap itu akhirnya di mansuhkan khidmat mereka di tamatkan, Jawatan yang hanya berstatus sandaran. Berkali-kali aku beri pandangan dan peluang untuk berfikir namun  tidak mengubah pendirian sahabat ini.

Kini merayu kembali ke jawatan asal , namun pihak jabatan tidak dapat membantu kerana perkhidmatan mereka  telah pun di tamatkan atas permintaan melalui surat perletakan jawatan secara terhormat. Itu adalah pilihan mereka minta khidmat ditamatkan. Inilah segelintir sikap manusia yang tamak dan tidak bersyukur tidak menggunakan akal yang panjang,

Jadikan ini sebagai satu iktibar agar usah terburu-buru dalam menggambil sebarang keputusan kerana belum tentu apa yang kita sangka lebih baik itulah yang lebih terbaik berbanding dengan apa yang kita sedia miliki.

Kini mereka telah kehilangan sumber pendapatan tetap, simpati melihat keadaan mereka namun apakan daya semuanya telah terlambat. Aku tidak mampu membantu. Berulang kali merayu agar di terima berkhidmat semula. Hanya maaf itu saja jawaban yang mampu terluah.

Khamis, 3 April 2014

Penjara rumah

Oleh Murshid Eunos
Hampir kesemua kes membabitkan remaja lari rumah atau mengamalkan gaya hidup liar mengatakan institut keluarga yang rapuh adalah punca utama. Mereka tidak tahan dikongkong dan langsung tidak diberi ruang bersuara bagi diri sendiri. Adakah ia salah ibu bapa dalam mendidik atau silap kaedah yang diguna pakai. MURSHID EUNOS cuba meneliti dari perspektif lebih luas.

Kebebasan memudaratkan anak, kongkongan menjadikan mereka liar. Itulah peribahasa moden yang boleh menggambarkan seribu satu masalah perilaku membabitkan remaja hari ini. Bagi menyelesaikan masalah berkaitan anak muda, perlu ada formula dan resipi yang tepat.


Ramai percaya didikan dalam bentuk kebebasan bertindak dan berfikir secara kreatif adalah sebaik-baik kaedah kerana kononnya itulah gaya moden hari ini. Tapi, ada yang kecundang akhirnya kerana kebebasan itu memakan diri sehingga anak tidak boleh berdisiplin mengikut undang-undang.

Umpamanya senario paling mudah untuk dilihat apabila anak disuruh memilih sendiri jalan yang disukai, sembahyang atau tidak, menutup aurat atau tidak, mengaji al-Quran atau tidak, suka hati sendiri kerana ibu bapa beranggapan yang agama adalah kesedaran hati bukan paksaan.

Sebenarnya, moden atau ‘sporting’ ada batasannya. Pandangan sebegini sungguh ekstrim dan membahayakan anak. Seolah-olah membiarkan anak sendiri sesat di tengah hutan yang gelap tanpa bimbingan tangan dan suluhan cahaya untuk mencari jalan keluar.

Hanya ibu bapa yang bodoh dan tidak bertanggungjawab saja akan membiarkan anaknya dibaham harimau atau tenggelam dalam lautan maksiat. Kepada mereka yang berfahaman bebas dalam mendidik anak, maka hendaklah mereka berlaku adil.

Anak berkembang dengan rangsangan dan keadaan persekitarannya. Jika di sekelilingnya sumber maksiat terlalu kuat dan kehidupan sosial tanpa batasan adalah ikutan mereka, mereka hanya mendiamkan diri kerana ia sedikit sebanyak akan mempengaruhi mereka juga.

Itu soal ibu bapa yang mendidik dengan gaya ala New York. Bezanya dengan konsep didikan kebanyakannya diamalkan di kawasan bandar itu adalah kaedah ‘otoriter’ atau kuku besi yang memenjarakan jiwa anak. Anak tidak mempunyai peluang dan kebebasan langsung untuk memilih, semua diatur dengan disiplin yang ketat bahkan dalam perkara-perkara yang menjadi keperluan jiwanya sama sekali diharamkan walaupun agama menghalalkannya.

Amat berbahaya jika menggunakan pendekatan terlalu mengongkong anak bahkan tidak segan-segan mendera emosi dan fizikal jika mereka melawan. Agama melarang perbuatan mengeksploitasi anak, memaksakan kehendak kepada anak dan menafikan hak mereka untuk bergembira, bermain dan berhibur.


Salah ibu bapa sepenuhnya?

Anak sentiasa dieksploitasi oleh orang dewasa di sekelilingnya, sehingga mereka dipaksa untuk cepat dewasa dan melupakan alam fantasi kanak-kanak. Di sekolah, guru memberi tekanan untuk bersaing dalam prestasi akademik, bahkan di sesetengah sekolah langsung tidak ditekankan kegiatan kokurikulum bertujuan membina sahsiah diri.

Kerana terlalu ghairah dengan akademik, alam persekolahan menjadi kaku, keras dan menjemukan. Tiada rasa seronok dan teruja ketika melangkah ke gerbang sekolah.

Di rumah pula, ibu bapa terlalu menuntut segala-galanya mesti cemerlang, tuisyen sana sini, kelas tambahan dan pendedahan alam siber yang mempengaruhi anak menjadi anti sosial. Tak pandai bergaul atau bertukar idea dan kosong jiwa kepemimpinannya.

Waktu terluang pula diisi dengan duduk bermain ‘game’, tak tahu isu semasa dan buta berita dunia. Di sekolah tak aktif bermain sukan, di rumah pula memerap dalam bilik. Ibu bapa yang sibuk langsung tak ambil tahu perkembangan psikologi anak, yang remaja pula mula mencari teman sehati sejiwa kerana ibu bapa tidak boleh diajak berkongsi.

Anak memerlukan perhatian, mereka suka bercerita, kita pula malas nak melayan. Mereka suka bermain, kita pula tak ada masa, mereka suka dengan aktiviti lasak, kita pula takut cedera, mereka suka berfantasi kita pula pentingkan realiti.

Mereka minat sukan, kita pula beralasan banyak kerja, mereka mahu kita menjadi pendengar, sedangkan telinga kita tidak sensitif lagi. Mereka mahu ditemani kita pula terpaksa membahagi peranan di sana-sini. Sebagai ibu bapa kita wajib memenuhi hak anak, bukan hanya makan, minum dan wang ringgit tetapi keperluan jiwa mereka yang hauskan perhatian.

Itulah jenis kongkongan yang begitu menakutkan hingga munculnya satu kajian dan bahan berita yang acap kali kita dengar; “Terkongkong punca remaja lari dari rumah”.

Dalam keadaan ini anak hanya mempunyai satu daripada dua pilihan iaitu menjadi pelaksana kepada cita-cita mereka yang tidak kesampaian atau dikehendaki menjadi orang lebih berjaya daripada ibu bapa mereka.

Ibu bapa akan sedaya upaya memberi sepenuh perhatian kepada anak terutamanya anak remaja, baik dari segi kasih sayang mahupun pelajaran.

Namun hakikatnya, ibu bapa kurang menyedari benih yang ditanam dan tumbuh subur serta berbunga itu bukan semuanya berupaya menghasilkan buah. Mereka kurang sedar kadangkala, bunga akan gugur tanpa sempat menghasilkan buah.

Ibu bapa sepatutnya bersedia menerima sebarang kemungkinan dan tidak boleh mengharap apa yang dihajati daripada anak itu akan dapat dilaksanakan dengan sempurna kerana anak bukannya robot yang boleh menjadi apa diinginkan ibu bapa.

Kegagalan ibu bapa menerima hakikat sebenar itulah kehidupan adalah antara faktor yang menjadi punca kebanyakan anak mengambil sesuatu tindakan di luar dugaan. Ekoran rasa terkongkong dan memikul beban harapan ibu bapa yang tinggi menggunung mengakibatkan anak remaja mengalami gangguan perasaan.


Jenis kongkongan

Antara penyebab utama golongan remaja mengambil sesuatu tindakan seperti lari dari rumah, membabitkan diri dengan gejala yang tidak sihat seperti penagihan dadah, seks bebas dan membuang anak adalah semata-mata mahu lari daripada keadaan yang dirasakan mengongkong kehidupan mereka.

Kebanyakan ibu bapa, menganggap apa yang dilakukan adalah semata-mata bertujuan mendidik namun ia diterima sebaliknya oleh remaja itu. Remaja pula merasakan perhatian yang diberikan oleh ibu bapa hanya berupa kongkongan sekali gus penghalang kepada melaksanakan keinginan dan cita-cita sendiri.

Memperkatakan mengenai kongkongan ini, ia terbahagi kepada tiga bentuk utama. Pertamanya, kongkongan daripada ibu bapa yang terlalu mendisiplinkan anak remaja dan ditambah dengan ketidakfahaman mereka tentang konsep derhaka.

Kedua, kongkongan daripada ibu bapa yang bercita-cita ingin melihat anak berjaya dengan memaksa anak mengikut kehendak mereka.

Manakala yang ketiga pula ialah kongkongan jiwa yang dikaitkan dengan penghargaan kendiri anak.

Jarang sekali ibu bapa mahu memberi peluang kepada anak untuk menyuarakan kehendak dan keinginan mereka. Sebaliknya, ibu bapa hanya memikirkan kehendak mereka dalam segala hal termasuk menentukan mata pelajaran yang perlu diambil oleh anak, minat dan aktiviti bersosial.

Dalam keadaan ini sekiranya anak ini bertindak sesuatu di luar dugaan, mereka dengan mudah menuduh anak ini melakukan penderhakaan sebagaimana yang pernah berlaku kepada ramai remaja termasuk beberapa selebriti muda sebelum ini.

Merujuk kepada konsep Islam pun, sebelum menghukum anak itu derhaka, ibu bapa harus bertanya kepada diri mereka sendiri apakah mereka melakukan penderhakaan kepada anak. Itu yang sepatutnya dilakukan dan tidak semudah menjatuh label derhaka kepada anak.

Bukan sengaja Gen Y mengangkat isu ini untuk menyebelahi golongan remaja dan anak, sebaliknya inilah satu aspek dan sudut dalam senario remaja lari rumah atau remaja derhaka namun jarang sekali orang lain lihat. Terus semua kesalahan itu jatuh pada remaja dan anak.

Berkemungkinan juga ibu bapa yang sudah menempa kejayaan dalam bidang masing-masing hari ini terdorong untuk mengambil pendekatan meneruskan tradisi kejayaan keluarga terhadap anak remaja mereka tanpa memikirkan langsung perasaan anak dan zaman yang sudah jauh berubah.

Sikap sedemikian menyebabkan anak remaja merasa dinafikan kebebasan mereka untuk merancang dan memilih corak masa depan sendiri. Sebaiknya didiklah remaja, setakat termampu, apabila sampai satu tahap, biar anak itu mencari siapakah dirinya sendiri.

Situasi pada zaman ibu bapa dengan zaman anak mereka hari ini adalah jauh berbeza.


Tak tahan terkongkong

Terlanjur bercerita soal remaja terkongkong dan silap ibu bapa yang terlalu mengharap, Gen Y berkongsi satu masalah yang dikirimkan oleh seorang remaja mengenai hidupnya ditentukan oleh ibu bapa hingga dia tidak punya suara untuk membuat keputusan.

Gadis berusia 15 tahun ini mengakui hidupnya terlalu bosan kerana dikongkong tahap kritikal oleh ibu sehingga semuanya tidak boleh dan asyik dimarah. Tidak boleh keluar dengan kawan dan langsung tidak dibenarkan untuk bersosial dengan rakan sebaya, gadis ini merasakan hidupnya bagai katak di bawah tempurung.

Paling kritikal, gadis ini berniat untuk melarikan diri dan mencari kebebasannya sendiri.

Sebagai anak, kita kadangkala tidak mampu memahami cara ibu bapa mendidik kita. Bagaimanapun, sebagai anak kita mempunyai tanggungjawab untuk menghormati mereka. Anak harus memahami bahawa tanggungjawab sebagai ibu bapa adalah berat untuk dipikul.

Memang remaja mempunyai keinginan tersendiri untuk dipenuhi. Kadangkala keinginan itu bertentangan dengan apa yang dimahukan oleh ibu bapa. Kongkongan yang dirasakan oleh adik berkemungkinan kerana tidak berterus terang dengan apa yang dirasai kepada ibu bapa.

Bagi tujuan memperbaiki keadaan ini, apa kata kita sebagai anak berbaik-baik dengan ibu bapa seperti membuat sesuatu yang boleh melembutkan hatinya. Contohnya meringankan beban kerja rumah. Ini satu cara untuk memperbaiki hubungan kita dengan ibu bapa.

Jika kita sebagai anak banyak berselindung, ia kurang menyenangkan hati mereka dan membuatkan lebih banyak sangka buruk.

Selain itu, penting untuk kita sebagai anak memohon kepada Allah agar menghilangkan perasaan bosan dan tidak suka dengan tindakan ibu bapa. Perasaan yang menyenangkan kepada ibu bapa menyebabkan kita mudah untuk mentaati mereka yang juga perintah Allah.

Mungkin bukan saja untuk pengirim masalah ini namun buat kita semua sebagai anak remaja, kita dapat menghadapi semua ini dengan tabah. Perjalanan kita masih jauh kerana belum menghadapi dunia luar dengan orang mempunyai pelbagai ragam tidak terduga.

Sumber- Harian Mitro