Sabtu, 31 Mac 2012

Ingatan Buat Wanita Kehidupan ini Umpama Roda


sekadar gambar hiasan
HANYA wanita memahami hati dan perasaan kaumnya, terutama bila dimadukan. Bukan setakat itu, mereka tahu bagaimana terhirisnya jiwa dan derita bila suami ada kekasih. Tetapi lain pula dengan adik ipar saya, bukan saja menyokong, malah menggalak dan menolong adik-beradiknya berpoligami. ''Apa yang menghairankan ipar saya, Jaja pernah menderita kerana ditipu dan dimadukan oleh suaminya yang mengaku bujang. Tetapi sekarang dia seolah-olah suka kalau wanita lain dimadukan. '' Itu cerita Nurhasanah dalam surat dan ketika kami berbual panjang di telefon baru-baru ini. ''Saya tak faham sikapnya yang tidak sedih ketika dimadukan dahulu. Mungkin kerana dia yang mengambil suami orang, sebab itu dia tak ada perasaan sedih seperti adik dan kakak iparnya yang dimadukan. ''Saya masih ingat lagi Jaja menghadapi masalah besar ketika dia hendak kahwin, sudahlah ditipu dan dimadukan malangnya dia sendiri tak tahu dirinya isteri ke berapa, tanya suami tak pernah bercakap benar. ''Seingat saya sepanjang perkahwinan, Jaja menderita. Puncanya dia kenal dengan orang kumpulan dakwah. Di situ dia kenal bakal suami. Terpikat kerana orang banyak ilmu konon berjubah, berjanggut, boleh berikan kebahagiaan dunia akhirat. Lebih bangga konon lelaki ini duda.

''Pada hari perkahwinan dia tak mahu sanding, cukup dengan kenduri dan dia akan ikut suami pindah ke tempat suami bekerja. Selepas seminggu berkahwin dia tak pindah. Suami balik, dia ditinggalkan. Selepas itu baru terbongkar rahsia, suaminya bukan duda tapi ada isteri dan empat anak. Jaja kekal duduk rumah emak di kampung. Di situ bermula episod sedih dalam kehidupan Jaja hingga dia ada tiga anak. Suami jarang balik sebab takutkan isteri pertama. ''Sepatutnya dengan pengalaman yang dilalui, dia simpati dengan adik dan kakak iparnya tetapi dia sokong abang dan adik lelakinya berpoligami. Sepatutnya dia menasihati mereka supaya lupakan niat nak kahwin lagi, dan pentingkan masa depan anak-anak. ''Sekarang Jaja tak bermadu sebab suami dah meninggal dunia, tetapi rasanya, air matanya baru sahaja kering disebabkan perangai suaminya. ''Ketika tiba hari nikah, bakal suami Jaja datang sehelai sepinggang tanpa diiringi saudara mara. Lebih teruk dia datang berlenggang tanpa duit hantaran. Kerana malu, mak mertua saya pinjamkan baju Melayu anaknya untuk dipakai bakal pengantin. ''Orang berbohong mana boleh simpan rahsia lama-lama. Bila rahsia terbongkar dia cakap isterinya tak marah. Sebenarnya dia amat takut isteri tua. Kalau tak takut kenapa sepanjang 26 tahun kahwin, dia tak pernah bawa Jaja jumpa ibunya dan mertua saya tak pernah kenal besannya. Hingga kini semua anak Jaja tak kenal adik-beradik isteri pertama ayah mereka. ''Lebih sedih ketika suami Jaja sakit setahun lalu Jaja tak berani menziarah atau menjaga suami di hospital sebab takut kena ganyang dengan madu.

Meninggal dunia ''Keadaan berterusan hingga suaminya meninggal dunia. Jaja dan anak-anak langsung tidak diberitahu. Setelah seminggu suaminya meninggal baru Jaja dapat berita tetapi tak tahu di mana kuburnya.
''Saya hairan macam mana dia boleh lupakan ketika hidupnya susah, dia terpaksa menanggung tiga anaknya kerana suami jarang beri nafkah. Dia seolah-olah tidak serik dengan pengalaman pahit bermadu, malah menjadikan rumahnya seperti hotel untuk adik-beradiknya membawa isteri baru dan kenalkan kepada ibu mereka . ''Ibu mertua saya gembira anak lelakinya kahwin lagi. Bila ditanya mertua saya kata dah jodoh dia.
''Saya tumpang sedih dengan nasib biras saya yang dimadukan. Janganlah kerana sedikit hadiah, ibu mertua dan Jaja, butakan mata mereka. ''Saya tak kisah kalau adik ipar saya orang kaya, berpangkat, banyak wang, sebab boleh beri makan anak-anak. Ini hidup susah, setakat bawa lori anak lima cukupkah duit nak kahwin dua? ''Biasanya mereka kahwin di sempadan nak sembunyi dari isteri pertama ada perkahwinan mereka tidak didaftarkan. Kami duduk bersempadan negara jiran nak kahwin beberapa kali tak jadi masalah, dekat keluar masuk pun senang. ''Nak bercerai pun tak ada masalah. Kalau mereka rasa tak dapat apa yang dicitakan dengan isteri baru atau masalah lain mereka bercerai. Mereka kahwin cerai macam tukar pakaian. ''Contohnya adik ipar saya nombor empat kahwin tujuh kali, kini tinggal tiga orang isteri dengan sembilan anak, sedangkan gajinya tak seberapa. Bukan menghina, kalau dia ada duit takkan dia biarkan kereta rosak tak dibaiki. ''Dulu sebelum kereta rosak, adik ipar saya lebih teruk, bukan setakat dia kahwin di sempadan, dia jadi orang tengah, ambil upah menguruskan kalau ada orang nak berpoligami.

 ''Melihat keadaan hidup biras-biras saya yang dimadukan, buat saya insaf, tak mustahil saya akan terima nasib sama kalau saya tak siapkan diri dari awal. Saya bersyukur kerana ada pelajaran dan kerja tetap. ''Kerana itu saya sentiasa bersiap-sedia, saya ada rumah, kereta dan simpanan sendiri. Tak seperti biras-biras saya hanya bergantung hidup pada suami, sebab tidak bekerja. ''Ditakdirkan saya tak selesa dengan apa yang dilakukan oleh suami, saya tak perlu pening kepala. Saya boleh berdikari malah bersyukur saya ada pencen untuk hari tua. ''Kepada wanita di luar sana dan nasihat saya kepada biras-biras saya bahawa hidup ini umpama langit, tak selalunya cerah, ingat hari ini lelaki itu suami kita, esok lusa belum pasti. ''Jika kita sudah membuat persediaan, ditakdirkan badai menyerang, sudah tentu persediaan yang ada boleh membalut rasa sedih. Apa lagi jika keluarga suami senang dengan perkahwinan baru anak lelakinya sokong seratus peratus. Tentu kita rasa lebih sakit hati.'' Itu nasihat Nurhasanah kepada setiap wanita yang telah berkahwin atau pun masih gadis.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan