Khamis, 12 Disember 2013

NOKTA PILU CINTA ANTARA DUA DARJAT

DALAM membicarakan jodoh pertemuan kita tidak seboleh-bolehnya terlupa bahawa di hujung kedua-duanya ada perceraian. Sebagai manusia kita hanya mampu berharap dan berusaha yang terbaik melalui doa dan ikhtiar. Sehinggakan kita merasakan setiap yang dipohonkan itu sesuatu yang terbaik dan tepat dalam hidup. 

 Sebetulnya, yang terbaik dan tepat bagi kita hanyalah yang ditakdirkan oleh Yang Maha Esa.
Sebagai manusia kita juga perlu akur dan reda bahawa setiap sesuatu akan sampai ke titik noktahnya.
Demikian jugalah ketentuan yang sudah ditakdirkan terjadi kepada jodoh bekas artis popular tahun 80-an, Mazuin Hamzah dengan adinda Sultan Brunei Darussalam, Pengiran Muda Sufri Bolkiah.
Kekuatan cinta yang bersemi bermula dari sepasang kekasih sehinggalah sebagai suami isteri yang terjalin selama hampir 17 tahun akhirnya rapuh juga.

Pengumuman secara rasmi perceraian Pengiran Muda Sufri Bolkiah dan Pengiran Bini Mazuin Hamzah disahkan oleh jurucakap Suruhanjaya Tinggi Brunei Darussalam di sini dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia 17 Februari lalu. Perkahwinan pasangan diraja itu telah berakhir dengan perceraian pada penghujung tahun lalu.

``Berita perceraian tersebut adalah benar dan mereka sekarang dengan haluan masing-masing,'' jelas kenyataan itu lagi. Jurucakap itu membuat kenyataan berkenaan sebagai mengulas pojok Sejenak Bersama Huzz dalam Mingguan Malaysia minggu lalu. Kenyataan itu turut memberitahu, Pengiran Sufri menganggap berita perceraiannya dengan bekas penyanyi kumpulan Quinnary M itu sebagai perkara yang cukup peribadi.

``Perkara ini adalah soal peribadi dan tidak semestinya Kerajaan Brunei Darussalam mengumumkan kepada peminat atau wartawan mengenai perceraian ini,'' kata kenyataan itu lagi. Bermula dari detik perceraian, bekas isteri Pengiran Sufri hanya dikenali sebagai Hajah Mazuin binti Hamzah sebagaimana disiarkan di akhbar rasmi kerajaan (Pelita Brunei) 24 Disember 2003 lalu. Episod cinta penyanyi yang cukup terkenal dengan lagu Aku Ingin Dekat Kepadamu dan Cinta Palsu itu bermula pada 10 Julai 1987.

Pertemuan pertama di Villa Cinta Bersemi (kediaman Sufri di Jalan Ampang, Kuala Lumpur) itu memberi kesempatan kepada pasangan itu untuk bertentang mata antara satu sama lain. Bagaimanapun, itu bukanlah pertemuan rasmi dengan Mazuin, sebaliknya, rombongan artis Malaysia yang menyertai Mekar Sejambak dipelawa untuk bermesra dengan Sufri sebelum rombongan itu dijemput ke Bandar Seri Begawan untuk meraikan baginda sempena majlis ulang tahun kelahirannya pada penghujung Julai 1987.

Rombongan artis Malaysia mendapat layanan yang cukup hebat dan Mazuin pula sudah tentu mendapat perhatian Sufri yang memastikan sambutan dan layanan kepada kekasihnya itu bertaraf lima bintang.
Sebelum Mazuin dan rombongan artis pulang ke Malaysia, Sufri memberanikan diri mengadakan pertemuan dengan artis wanita berkenaan yang ditemani ibunya, Maimon.

Di ruang pejabat di Istana Nurul Hana, Sufri secara gentleman menyuarakan hasrat hatinya untuk meminang Mazuin. Berdasarkan laporan dalam majalah URTV, sebelum menyunting si genit itu, Sufri terlebih dahulu bertanyakan Mazuin apakah dia sudah mempunyai pilihan hati. Tergamam dengan pertanyaan itu, Mazuin menggelengkan kepala. Maimon yang setia menemani puterinya itu juga ditanya oleh Sufri apakah beliau sudi untuk menerima kehadiran putera diraja itu sebagai menantunya.

Maimon lebih senang membiarkan keputusan itu dibuat oleh Mazuin sendiri kerana pada usia 23 tahun, wanita itu berpendapat, lebih baik anaknya sahaja yang menentukan masa depannya.
Kata sepakat dicapai, selang seminggu selepas pertemuan di Bandar Seri Begawan, Sufri berlepas ke Kuala Lumpur dengan jet peribadinya untuk melamar Mazuin.

Sekali lagi berita itu mendapat perhatian akhbar Utusan Malaysia yang berjaya mendapat pengakuan eksklusif Sufri yang mengesahkan baginda sudah melamar Mazuin. Bibit cinta antara Mazuin dan Sufri mula berputik selepas detik itu sebagaimana bergulingnya musim-musim, hidup manusia direncahkan dengan peristiwa yang pelbagai.

Berbulan-bulan persiapan dilakukan sehinggalah majlis pernikahan dan persandingan berlangsung secara gilang-gemilang. 11 Disember 1987 menyaksikan dua hati disimpul menjadi satu. Mazuin menjadi artis wanita pertama diangkat kedudukan sebagai permaisuri kepada kerabat diraja negara paling kaya di dunia.
Majlis perkahwinan pasangan ini kekal sebagai perkahwinan paling gemilang artis tempatan sehingga ke hari ini.

Namun, tiada siapa yang pernah menyangka kegemilangan majlis pernikahan itu berakhir dengan noktah yang cukup pilu. Sehingga kini, Mazuin sukar untuk dijejaki bagi mendapatkan reaksinya.
Yang ada hanyalah catatan-catatan silam yang penuh dengan coretan manis Mazuin khususnya sebelum dia menduduki takhta di istana. Mazuin tidak pernah meminta kehidupannya ditakdir sedemikian rupa tetapi hakikatnya musim-musim indah yang pernah dilewatinya sudah berakhir.

Barangkali catatan hidup Mazuin ada signifikannya dengan lagu Penjara Cinta nyanyiannya sebelum bergelar orang istana. Sebahagian daripada kehidupan Mazuin diterjemahkan ke dalam lirik Penjara Cinta yang antara lain menyebut...

bagai merpati
Sepi disangkari
Tiada keindahan
Tak berteman

Tiada kebebasan
Tiada kedamaian
Hatiku berduka
Terpenjara...
Lirik penuh bermakna oleh Seri Bayu ini bagaikan menjelaskan segala-galanya mengenai kehidupan wanita
bernama Mazuin Hamzah.

Ini merupakan sebuah kisah cinta duka seorang wanita biasa yang berkahwin dengan seorang putera raja, kisah ini telah menjadi sejarah namun ianya tetap terpahat dalam diary peminat Mazuin Hamzah , kisah aku dengan Mazuin hampir serupa, hanya aku wanita biasa yang berkahwin dengan orang biasa, perkongsian hidup terpaksa di noktakan kerana sudah tiada persefahaman.

Jujurnya dialah satu-satunya lelaki yang pertama bertaktha di hatiku. Sepanjang hidupku, aku tidak pernah menyintai mana-mana lelaki di dunia ini melainkan dia. Sehingga kami di ijab kabul menjadi pasangan yang sah. Kami menyulam cinta selama tujuh tahun. Sepanjang aku bercinta dengannya ramai jejaka datang melamar,  tapi semuanya ku tolak atas faktor kesetiaan demi dia, aku terlalu setia namun dalam pada aku mengabdikan kesetiaanku rupanya dia ada hubungan dengan wanita lain, pun aku tak kisah aku tetap pertahankan seluruh kesetiaanku.

Bukan saja waktu kami bercinta dia bermain kayu tiga malah saat kami telah bertunang dan selepas kahwin pun sikap curangnya tidak pernah berubah. Akhirnya satu saat kesabaran dan kesetiaan yang sekian lama ku pertahankan tidak mampu di bendung lagi, akhirnya aku mengambil keputusan tanpa menoleh ke belakang aku melangkah  pergi meninggalkan dia buat selama-lamanya. Saat itu dia menanggis air mata darah sekali pun sudah tidak mampu mengubah apa-apa. Aku nekad, semuanya sudah terlambat.

Derita jiwaku akhirnya berlalu, bahagianya hidup tidak didampinggi manusia yang tidak tahu menghargai segala pengorbanan. ya aku puas hati, benar-benar puas hati. Setiap diri kita ada hak untuk bahagia, kita banyak pilihan, memilih untuk bahagia atau derita. Aku tidak tersalah membuat pilihan kerana kini kehidupan ini lebih tenang dan damai. Terasa dunia ini lapang, aku terlepas dari satu ruang yang begitu sempit menyekat pernafasan.

Selepas berpisah aku nekad tidak akan berkahwin lagi, kerana derita jiwaku belum berakhir. namun manusia hanya mampu merancang Tuhan yang menentukan segala-galanya.  Di takdirkan akhirnya aku bertemu jodoh untuk kedua kalinya. Aku mengharap agar jodohku kali ini adalah yang terbaik, tetapi benarlah apa yang dikata untuk mencari yang benar-benar sempurna itu adalah mustahil melainkan Tuhan saja yang selayaknya sempurna. Perkahwinan kedua ini buat aku banyak makan hati. Sejujurnya anak-anak tak bersetuju aku berkahwin lagi atas sebab mereka bimbang aku tidak bahagia.
  
Perjalanan hidup ini ada pasang surutnya, kadang-kadang ok kadang-kadang tidak ok..andai waktu yang lalu bisa kembali lagi, aku lebih memilih hidup sendiri dari berkahwin lagi kerana ternyata perkahwinan kedua ini pun tidak seperti apa yang ku harapkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan