Isnin, 17 Mac 2014

Sakinah Yang Hilang

Sayang Sakinah (Bahagian 1)
Betul kata orang, dunia ini ibarat sebuah pentas lakonan. Umpama sebuah panggung teater. Di mana ditempatkan oleh-Nya ribuan juta pelakon. Pelakon plastik tidak terhitung ramainya. Bumi fana ini meletakkan variasi jenis pelakon. Beraneka ragamnya. Memunculkan kepelbagaian watak.
Jelas sekali, berbeza perwatakannya. Menghadirkan bermacam-macam persembahan hidup. Menayangkan ketidaksamaan sikap, berlainan pemikirannya. Daripada protagonis kepada yang antagonis. Daripada perihal lawa kepada perihal hodoh. Daripada si dungu kepada si bijaksana. Ah, memang betullah ada pantun yang mengatakan - lain padang lain belalang, lain orang lain ragam.Aku setuju seandainya orang mengatakan dunia kini dikelilingi himpunan teknologi canggih. Aku akui seantero global ini disaluti bilangan kelompok manusia yang modenisasi. Aku tak nafikan itu!
Tapi sayangnya, ke mana menghilang belia Sakinah? Ke mana lenyapnya sikap perikemanusiaan manusia abad ini? Ke mana melayang kesantunan masyarakat era ini? Ke mana perginya sifat-sifat positif segelintir anak watan di usia ini? Memanglah rambut sama hitam, tapi hati yang berlainan. Semuanya perlu difikirkan.

Sejujurnya, aku menyayangi rakan sealiranku. Aku bangga dengan paras rupa mereka. Si Sakinah lawa, cantik, menawan hati. Yang lelaki pula tampan. Hidung mancung bak seludang. Kulit putih gebu bak kapas. Segala apa yang ada pada mereka memang menarik. Begitu indah ciptaan Yang Maha Kuasa. Semuanya sempurna.

Kadang-kadang cemburu pula aku terhadap kesempurnaan yang mereka miliki. Sayangnya, sikap yang mereka tonjolkan begitu mengguris hati. Tak semua, segelintir saja. Tak sesuai dek wajah. Pudar sudah perasaan bertimbang rasa. Luntur sudah warna simpati. Kian layu perasaan malu sesama sendiri. Selamatkanlah dunia kami Ya Tuhan!

Akhbar Harian Metro yang aku raih sebentar tadi dari 7 Eleven, masih ku tatap. Pengetahuan semasa ingin aku tambah. Biasalah pemegang gelaran mahasiswi katakan. Kandungannya aku teliti. Hati tertarik halaman hadapannya.

Umpan Badan - tajuk besarnya. Aku seret lagi penglihatan ke arah ayat seterusnya. Isteri jual gambar bogel untuk hidup mewah - ayat berikutnya yang aku hadam. Baris demi baris aku baca ayatnya. Kepala aku tergeleng-geleng. Tunjukkanlah nur kepada mereka, Ya Allah. Selamatkan mereka dari hutan kegelapan. Hatiku bermunajat pada-Nya.

Rasa kesal menyelinap ke seluruh belantara hatiku. Apa kejadahnya manusia hari ini? Perlukah menonjolkan sifat sebegitu hanya kerana ingin hidup mewah? Kenapa tak berusaha cara halal? Aku terus menyoal diri sendiri. Perlakuan manusia kini aku kira kian melampau. Melangkahi sempadan agama. Nilai-nilai moral kian terhakis. Aku kira inilah akibat proses modenisasi. Perasaan tamak haloba turut menguasai diri. Dunia kini menjadi terbalik. Bukan menuju ke hadapan, tapi berbalik semula kepada nostalgia lama. Dunia jahiliah, dunia tidak bertamadun.

Aku cuba mengawal perasaan marah yang membuak-buak. Terasa malu aku dengan kaum Hawa kini. Apa kata pelancong luar yang datang ke Malaysia? Apa fikiran orang asing yang meluangkan masa datang menjenguk? Betulkah Malaysia indah?

Tak! Aku kira tidak sama sekali. Meskipun indah, itu luaran. Meskipun menarik tapi hanya kerana bangunan pencakar langit, berdiri megah. Yang tersergam indah mewarnai bumi gemilang ini. Walau menawan kalbu, tapi hanya dengan alam semula jadinya. Rakyatnya berbilang kaum. Memiliki adat, tradisi serta budaya warna-warni. Itu tak dapat dinafikan. Bagaimana pula tahap moral penduduknya?

“Langsung tak malu ke buat benda terkutuk macam tu?” soal aku pada Jilah, rakan karibku.

“Entahlah...” selamba Jilah. Kemungkinan dia tak miliki idea, kiraku masa aku aju soalan.

Bukan hubungan songsang
Kami memang kerap meluangkan masa bersama lebih-lebih lagi bila ‘window shopping’. Ke mana saja kami melangkah, memang acap kali kami berdua-duaan. Ramai rakanku yang lain menyangka kami sedang menjalin hubungan. Hubungan songsang. Sangkaan mereka sama sekali salah. Hanya kami saja yang tahu betapa kami adalah rakan seperjuangan dalam menimba ilmu. Sudah lama kami memeterai sebuah ikatan kasih yang bernama persahabatan.

Bagiku, tak ada istilah bercinta. Apatah lagi dengan Jilah, haram di mata Sang Pencipta. Yang ada cuma teman tapi mesra. Yang wujud hanyalah istilah bercinta dengan Yang Maha Esa. Begitulah apa yang tersemat di lubuk hatiku. Dari momen aku mula mengenali kehadiran Jilah. Hingga kini, anggapan aku terhadapnya masih serupa. Tiada transformasi negatif yang berlaku.

“Ha’ah kan? Kenapa dorang tergamak buat macam tu? Kalau aku, memang aku malu tau. Dorang macam tak kisah langsung pun dengan tohmahan masyarakat. Tak peduli dengan hinaan yang bakal keluar daripada mulut orang lain. Biasalah manusia kan berbeza,” kini Jilah memberiku respon. Cara maklum balasnya seperti ada simptom-simptom, menandakan dia geram.

Aku juga dapat mengesan kiranya bahang kemarahannya. Mungkin Jilah juga turut merasa kurang selesa dengan panorama yang menakluki hati insan muda kini. Hati mereka dipenuhi najis dosa. Naluri anak muda kian dinodai belenggu nafsu. Bukan semua, sebahagian.

Aku pula tersenyum sambil fikiranku memikirkan sesuatu. Mindaku tercari-cari perkara yang aku biasa lakukan. Tak lengkap rasanya kalau sehari aku tidak melafazkannya. Pantun! Aku memang minat pantun Melayu meskipun aku bukan Melayu. Aku kira itu juga tradisi yang harus dijaga daripada dikunyah waktu. Warisan zaman-berzaman itu harus aku pelihara. Nilainya tak terungkap.

Dulu aku aktif dalam kelab pantun ketika masih menyarung pakaian seragam. Itulah momen bergelar pelajar belasan tahun di bangku sekolah menengah. Akulah bekas wira pemantun di sekolah. Bertahun-tahun ilmu dalam bidang itu kucuba kumpulkan dan aku simpan dalam kotak ingatan. Kini minatku masih ke situ.

Aku lafaz pada Jilah. Aku tutur padanya sebaik saja pantun itu selesai diproses dalam kilang mindaku. Dengan jedanya sekali.

Bunga kekwa bunga cendana,
Warnanya lesu serinya mati;
Rupa lawa tiadalah makna,
Andainya nafsu beraja di hati.

Jilah tersenyum mendengar aku berpantun. Dia memang selalu menjadi mangsa, tempat aku meluah perasaan. Bila tidak puas hati, pantun terus aku lafaz.

“Nina, kau ni kan, tak habis-habis dengan pantun kau tu! Ada pendekatan lain tak untuk menyindir orang?” Jilah mengomel manja. Kemudian, dia ketawa kecil. Aku hanya tersenyum menatap gelagatnya itu.

Aku ketawa mendengar luahan hati Jilah. Ku sambung lagi;

Cantik mempelai hatinya hiba,
Kekasih tiada luka melarat;
Maruah digadai dikuasai haloba,
Inilah petanda dunia akhirat.


Kucar-kacir dilanggar

Ketibaan monorel ke KL Sentral mengejutkan aku dan Jilah. Niatku untuk meluahkan satu lagi rangkap pantun terus mati serta merta. Terus aku atur langkah, bersedia untuk memasuki perut raksasa itu. Takut terlambat sampai di kolej kediaman. Akhbar yang aku baca tadi, sudah ditutup helaiannya. Segera aku simpan ke dalam beg. Di saat aku ingin meneroboskan diri ke dalam monorel, terasa badanku seperti ditolak oleh seseorang.

Langkahku menjadi kucar-kacir. Aku hampir-hampir tersungkur. Aku toleh semula ke belakang. Kelihatan seorang perempuan yang tak aku kenali berada di belakang. Hatiku mensyaki dialah orangnya. Tapi ku diamkan diri. Ku pendam perlakuannya.

Kebetulan ada tempat duduk masih kekosongan. Muat-muat untuk aku dan Jilah. Punggung terus aku labuhkan. Selesa rasanya.

“Tadi Jilah ada nampak tak orang yang tolak Nina?” soalku. Serasa geram bercampur-baur di kelopak hatiku.

Jilah mengerutkan dahinya. Perasan aku, kalau Jilah masuk dulu sebelum aku. Cuma ingin bertanya untuk memastikan kejadian itu. Benaknya dapat aku kenali, ada tanya-tanya di dalamnya.

“Hmm... Nina tadi kena tolak ke? Jilah tak perasan la.”

“Nina memang kena tolak tadi. Nasib baik tak tersungkur. Kalau jatuh kena langgar monorel tu macam mana? Mampu dia ganti balik nyawa Nina? Emm.. Entahlah siapa agaknya orang yang berani menolak Nina tu,” kepala ku geleng.

Aku meluahkan rasa kesalku pada Jilah. Perangai yang ada pada sebahagian rakyat Malaysia kini serba sedikit meranumkan buah kekecewaan dalam dusun hatiku. Ke mana menghilangnya nilai toleransi? Ke mana hanyutnya ladang rasa hormat-menghormati? Perlukah mereka sampai tolak-menolak? Haruskah mereka berebut gara-gara ingin masuk monorel? Aku menembak diri sendiri dengan pelbagai persoalan yang tak terjawab olehku sendiri.

Sekali lagi mindaku terfikir sesuatu. Sudah pasti pantun lagi. Fikiranku sedang menggali ayat dan rima yang sesuai untuk membina serangkap pantun. Aku kira Jilah mungkin dapat menghidu tingkah lakuku. Masak dia dengan ulahku. Sedikit aku merasa tak berpuas hati, memang aku akan meluahkannya dengan hanya berpantun. Tak kira di mana aku berada. Tak peduli masa apa pun. Niat hanya ingin menyalurkan mesej kepada orang lain.

Namun pantun kali ini aku cuma bicarakan dalam hatiku. Tak diluah pada Jilah.

Megah berkibar bendera Malaysia,
Berwarna cerah menawan hati;
Perlunya bersabar rakan belia,
Tidaklah usah pentingkan diri.
Penyeluk saku

“Jilah nampak tak apa yang Nina nampak?” Aku cuba memulakan perbualan. Terus Jilah mengalihkan pandangan ke mukaku. Apa dia nampak sesuatu yang mencurigakan sama seperti aku?

“Apa?” jawabnya ringkas.

“Nantilah Nina cerita pada Jilah. Lepas sampai kolej nanti. Tak ‘alert-lah’ Jilah ni!”

Setelah lama aku dan Jilah membisu, aku cuba bersuara semula. Cuba aku tutur sesuatu. Bola mataku mengenal pasti satu lagi perlakuan anak muda. Rakan sebayaku, kukira.

Waktu di dalam monorel, aku lihat seorang gadis cuba menyeluk saku seorang perempuan yang aku anggarkan dia sudah boleh digelar seorang ibu. Boleh jadi usianya di pertengahan 30-an. Ya, ku rasa sebegitu! Gadis tadi amatlah sempurna di mataku. Paras rupanya menawan. Putih melepak kulitnya. Tinggi, berhidung panjang dan mancung. Stailnya berpakaian menampakkan dia seperti model. Tapi sayangnya, dia penyeluk saku. Dasar gadis penyeluk saku, kutuk hatiku!

Huh, tak habis-habis rakanku menonjolkan perangai yang aku kira tak patut mereka tonjolkan! Wahai rakan tersayang, kembalilah ke jalan-Nya! Sedarlah. Bukalah matamu - aku berpuisi indah. Puisi pendek itu aku ucap di dalam hati.

Nasiblah seorang pak cik dengan cepat-cepat menghidu tingkah laku busuknya. Syukurlah. Patut dia dilaporkan kepada pak polisi yang ada di sekitar stesen yang bakal raksasa itu singgah sebentar lagi. Memang harus. Tidak adil bagi orang lain kalau perangainya itu diteruskan. Malas berdikarilah tu! Dasar kau pemalas - hina dalaman hati!

Tak henti-henti aku merasa kecewa. Perasaan itu lahir dengan sendirinya bila saja ku lihat kelakuan rakan-rakan seperjuanganku jauh terpesong. Kebanyakan lari daripada landasan agama. Sedih di dalam hati, tak terkata. Nak tegur, serasa malu. Kenapa mereka tidak memikirkan untuk hidup sesuai dengan kehendak-Nya? Apa mereka tahu yang bila-bila saja Yang Maha Esa boleh mengambil nyawa kita semua? Semua itu perlu difikirkan.

Sumber.Harian Metro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan