Sabtu, 22 September 2012

Malaysia Negara Istimewa




MENJAMU selera dengan masakan Arab kini seumpama satu fenomena dalam kalangan masyarakat tempatan. Meskipun harganya agak mahal berbanding di restoran biasa, ia bukanlah penghalang kepada  orang ramai memenuhi restoran Arab terutama di Kuala Lumpur. Hidangan kebab kambing atau ayam dengan ramuan tersendiri sudah cukup membuatkan pelanggan terliur. Tidak cukup dengan itu, nasi Mandy yang menggunakan beras istimewa berlaukkan daging kambing panggang atau ayam panggang yang lembut memberikan kepuasan kepada penggemarnya. Di sebalik percambahan restoran Arab di negara ini, ia turut membuka peluang kepada golongan chef dari Asia Barat mencari peluang pekerjaan di negara ini. Meskipun sebahagian pekerja terpaksa berkorban dengan meninggalkan anak isteri di negara kelahiran mereka, tawaran gaji yang lumayan dan insentif-insentif lain antara faktor mereka sanggup berkelana di negara ini.


MOHAMMAD (kiri) mahir memasak pelbagai juadah Yemen sejak umurnya 14 tahun.


Selain itu, bukan mudah bagi pemilik restoran untuk mencari chef masakan Arab warga tempatan yang mampu memasak masakan tersebut dengan baik. Sehubungan itu, pemilik-pemilik restoran sanggup pulang ke negara asal masing-masing bagi mendapatkan chef-chef yang memenuhi kehendak mereka.
Mohammad Hamood, 33, dari Yemen antara individu yang mencari rezeki dengan bekerja di Restoran Hadramawt Palace di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Bapa kepada lapan orang anak itu sanggup berhijrah ke negara ini setelah dijanjikan tawaran gaji dua kali ganda berbanding ketika bekerja sebagai chef di negaranya. "Demi menyara keluarga, saya perlu berkorban meninggalkan tanah air, isteri dan anak-anak.


REPUTASI Malaysia menyebabkan ramai Chef dari Asia Barat tidak kisah meninggalkan anak dan isteri untuk bekerja di sini.


"Reputasi Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang maju membuatkan saya tidak berfikir banyak kali untuk menerima tawaran kerja ini," katanya ketika ditemui baru-baru ini. Mahir memasak masakan Yemen sejak berusia 14 tahun, minat tersebut berputik hasil didikan bapanya yang memiliki sebuah restoran di negara tersebut. Walaupun tidak memiliki sebarang kelulusan formal dalam bidang masakan, pengalaman yang ditimba selama dua dekad membuktikan kepakaran yang dimilikinya. Berada di negara ini sejak awal tahun lalu, rutin kerja Mohammad sebagai ketua chef agak padat. Bermula seawal pukul 11 pagi, dia akan memastikan segala keperluan restoran mencukupi termasuk sayur-sayuran, rempah-ratus, ayam dan daging kambing. Selain menyediakan kelengkapan tersebut, beliau juga bertanggungjawab perlu memberi arahan dan memastikan lapan chef lain di  restoran berkenaan menyediakan menu-menu pada hari tersebut."Saya tinggal di asrama yang disediakan majikan, jadi tiada masalah untuk datang ke tempat bekerja. Pada hari cuti, saya akan berehat di asrama dan kadangkala bersiar-siar bersama rakan-rakan di Bukit Bintang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan