Isnin, 10 Jun 2013

Bantu Golongan Muda Miliki Rumah

HARGA pasaran rumah yang tinggi ketika ini menyukarkan golongan muda untuk memiliki rumah.


GOLONGAN muda khususnya mereka yang merancang memiliki rumah buat pertama kali pasti gembira dengan tumpuan utama kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang merencana bukan sahaja rumah lebih murah, malah mudah dimiliki.
Buat permulaan, di bawah Bajet 2013, sejumlah RM1.9 bilion diperuntukkan untuk membina 123,000 rumah mampu milik di lokasi strategik seluruh negara.
Bagi memudahkan pemilikan rumah, mereka yang membeli rumah pertama yang bernilai sehingga RM400,000 layak diberi pelepasan yuran duti setem sekurang-kurangnya 50 peratus sehingga akhir 2014.
Ini sekali gus menunjukkan kerajaan komited menyediakan peluang pemilikan rumah sendiri kepada semua peringkat masyarakat terutamanya golongan muda. Malah, ia dilakukan pada ketika harga rumah di luar kemampuan mereka yang berpendapatan sederhana.
Tiga jabatan kerajaan telah diberi kepercayaan untuk merealisasikan hasrat tersebut iaitu Jabatan Perdana Menteri yang menguruskan Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA), Jabatan Kewangan melalui Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Jabatan Perumahan Negara.
Pendapatan sederhana
Seperti yang dijanjikan, kerajaan kini berusaha memudahkan golongan berpendapatan sederhana dari kawasan bandar memiliki rumah sendiri yang berharga antara RM150,000 dan RM300,000 melalui program PR1MA.
Ini dilakukan melalui kerjasama dengan pemaju perumahan swasta untuk membina 80,000 rumah mampu milik di lokasi utama negara seperti Kuala Lumpur, Shah Alam, Johor Bahru, Seremban dan Kuantan yang akan dijual dengan harga 20 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.
Di Johor Bahru misalnya, PR1MA telah mengenal pasti beberapa lokasi tanah di Larkin, Tampoi, Kulaijaya, Plentong dan Pasir Gudang untuk membina 8,000 unit rumah mampu milik.
SPNB pula menerima peruntukan RM320 juta untuk membina 22,855 unit rumah termasuk apartmen kos rendah dan sederhana di bawah program Rumah Mesra Rakyat dan Rumah Mampu Milik.

KERAJAAN komited menyediakan peluang pemilikan rumah sendiri untuk semua golongan termasuk golongan muda.


Melalui Program Rumah Mesra Rakyat sebanyak 21,000 unit rumah berharga RM65,000 seunit akan dibina tahun ini. Para pembeli akan menikmati subsidi sebanyak RM20,000 dan dua peratus lagi tambahan subsidi terhadap kadar faedah.
Tanpa mengabaikan golongan muda berpendapatan rendah, Jabatan Perumahan Negara menerima peruntukan sebanyak RM543 juta bagi membina 45 Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang melibatkan pembinaan 20,454 unit rumah baharu menggunakan sistem bangunan perindustrian.
Untuk membantu kakitangan sektor awam yang tergolong dalam kategori itu, kerajaan mengkhususkan 20 peratus daripada jumlah unit baharu PPR selain satu peratus kuota khas untuk orang kelainan upaya (OKU).
Apapun, pembeli dijamin penjimatan yang sangat besar memandangkan setiap unit akan dijual dengan harga sehingga RM40,000 sedangkan harga pasarannya ialah RM120,000 seunit.
Projek terbengkalai
Selain memastikan pembinaan ratusan ribu rumah mampu milik untuk golongan muda bekerjaya, kerajaan juga komited untuk membantu menghidupkan semula kes rumah terbengkalai.
Selain memperjuangkan nasib pembeli dan menyediakan lebih banyak rumah, kerajaan mahu menghapuskan projek-projek terbengkalai yang menyakitkan mata selain memberi pandangan buruk kepada pelabur dan pelancong asing.
Antara 2010 dan Disember 2012, usaha gigih KPKT telah berjaya menyelesaikan 118 projek perumahan terbengkalai swasta.
Lantas, kementerian akan terus mengatur strategi bagi menangani isu tersebut termasuk melalui insentif cukai khas kepada syarikat swasta bagi memastikan pemaju menyiapkan projek yang mereka laksanakan.
Insentif cukai khas itu termasuk kepada bank yang akan menerima pengecualian cukai terhadap pendapatan daripada faedah yang diterima daripada pemaju projek perumahan terbengkalai. Pemaju juga akan menerima potongan berganda terhadap faedah pinjaman, manakala kontraktor dan pembeli rumah asal akan mendapat pengecualian duti setem.
Kementerian percaya strategi itu akan menggalakkan pemaju menghidupkan semula projek yang terbengkalai memandangkan pihak bank dijangka akan lebih bersedia untuk menyediakan pinjaman bagi memastikan hasrat itu dapat ditunaikan.
Kaedah itu dijangka mampu menyelamatkan sekurang-kurangnya 30 projek perumahan terbengkalai sekali gus memperjuangkan nasib sehingga 8,000 pembeli rumah. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan