Jumaat, 7 Jun 2013

Saya Belum Berpunya NORA DANIS


 Pelakon yang terkenal dengan drama bersiri Puteri, Nora Danish Mohd. Hanif mengakui dia masih belum mempunyai teman istimewa. Bagaimanapun ibu tunggal itu tidak menolak kemungkinan seandainya suatu hari nanti pintu hatinya terbuka untuk bergelar isteri semula.
Nora berkata, setelah menempuh pelbagai dugaan sebelum ini, dia tidak akan terburu-buru membuat keputusan untuk kembali mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat."Pada masa ini saya tidak  mahu lagi memikirkan soal jodoh, biarlah Allah yang menentukan soal itu. Perkara utama saya sekarang adalah menumpukan sepenuhnya terhadap kerjaya.

"Saya tidak akan terburu-buru untuk berumah tangga sekarang, biarlah saya tumpukan soal kerjaya terlebih dahulu dan andai suatu hari nanti dibukakan pintu hati, saya tidak menolaknya.
"Lagipun anak saya sudah berumur empat tahun jadi teringin juga untuk kembali mempunyai anak selepas ini," katanya tersipu-sipu malu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Pelancaran Krim Mandian Ulung Fruitale FairWhite UV di ruang legar pasar raya Mydin Mall di sini hari ini. Kehadiran pelakon jelita itu ke negeri ini adalah untuk mempromosikan produk penjagaan diri sabun buku dan krim mandian dengan ekstrak buah-buahan semula jadi tersebut.

Sejak memegang status janda setelah bercerai dengan Rizal Ashram Ramli pada 2008, pelakon cantik itu berhadapan dengan pelbagai cabaran. Dia tidak pernah lekang dengan pelbagai gosip percintaan apabila dikaitkan dengan beberapa rakan artis seperti Zizan Razak, Adi Putra dan terbaharu, Shaheizy Sam.
Sementara itu ketika ditanya mengenai perkembangan terbaharu kegiatan seninya, Nora berkata, dia sedang sibuk menjalani penggambaran untuk program sempena Hari Raya Aldilfitri tidak lama lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan